MINGGU 3 – KELAS PERTAMA PROJEK SENI – 3 MAY
2016
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Minggu ini
merupakan kelas pertama untuk subjek PROJEK SENI PASK 0363 yang diajar oleh Encik
Sharizam Hamzah pada semester terakhir ini. Seramai 38 orang pelajar Asasi Seni
Kreatif telah mendaftar subjek ini. Pada kelas yang pertama ini, Encik Sharizam
memberitahu kami tentang projek akhir pelajar Asasi yang bakal dijalankan
bersama semua pelajar Asasi pada penghujung semester ketiga. Oleh kerana pada
peringkat ini Encik Sharizam sendiri masih belum jelas mengenai projek ini
kerana ianya masih berada di bawah perancangan Penyelaras Asasi iaitu Encik
Rosman Ishak, untuk kelas yang pertama ini dia hanya merangka organisasi FeSSA
bersama para pelajar sahaja. Saya telah dilantik sebagai Pengurus Pentas (STAGE
MANAGER AKA SM) bersama dua lagi rakan di bawah pantauan saya iaitu Nur Bahirah
dan Nor Afifah. Kami hanya akan bekerja pada sekurang-kurangnya beberapa minggu
sebelum FeSSA berlangsung.
FeSSA ini merupakan
gabungan persembahan di antara para pelajar Asasi dari semua fakulti yang
terlibat iaitu fakulti Tari, Teater, Pengurusan Seni & Budaya, Penulisan
Kreatif, Animasi, Muzik, Filem dan Rekaan Komunikasi Visual. Para pelajar akan
bergabung dan bekerjasama antara satu sama lain dalam menghasilkan sebuah
persembahan yang menggabungkan unsur tarian, teater dan muzik dalam satu malam.
Para pelajar yang mengambil subjek Projek Seni ini pula akan membantu
menguruskan acara ini.
........................................................................................................................................
MINGGU 7 – PERJUMPAAN BERSAMA SEMUA PENSYARAH
YANG TERLIBAT UNTUK FESSA – 3 JUN 2016
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Satu perjumpaan
bersama Penyelaras Asasi iaitu Encik Rosman Ishak bersama semua pelajar dan
pensyarah yang terlibat dengan FeSSA telah diadakan pada hari ini dari pukul 11.00pagi
– 12.15pagi bertempat di Studio Tari Utama (STU). Pada perjumpaan ini, Encik
Azizul (pensyarah dari fakulti Rekaan Komunikasi Visual) selaku Pengurus Projek
telah mengetuai perbincangan dan memberikan penjelasan mengenai FeSSA. Tarikh
serta tempat FeSSA telah ditetapkan iaitu pada 5 Ogos 2016 di Experimental
Theatre (ET) dari jam 8.00 malam sehingga 10.00 malam.
Pada mulanya pihak
pengurusan ingin mengadakan FeSSA pada 4 Ogos (Khamis) tetapi telah ditentang
oleh saya sendiri memandangkan tujuan utama FeSSA diadakan adalah untuk
menjemput ibu bapa untuk melihat persembahan anak-anak mereka. Jika acara ini
diadakan pada hari bekerja, ibu bapa yang tinggal berjauhan dari Kuala Lumpur
akan mengalami kesukaran untuk datang menonton. Saya mencadangkan agar FeSSA
diadakan pada hari jumaat. Seminggu selepas perjumpaan ini diadakan, pihak
pengurusan bersetuju dengan cadangan saya dan menukar tarikh FeSSA kepada 5
Ogos.
Pada perjumpaan ini
juga, Dr Azman dari Fakulti Penulisan Kreatif telah berkongsi kepada kami jalan
cerita utama untuk persembahan FeSSA. Kami juga diberitahu bahawa akan ada
pensyarah yang mengetuai setiap bahagian di dalam FeSSA ini. Kumpulan saya
sendiri (SM) akan bekerja di bawah Encik Yusmar dan Encik Andika selaku ketua
Pengurus Pentas.
........................................................................................................................................
........................................................................................................................................
MINGGU 3 –>
MINGGU 14 – PERJUMPAAN DI DALAM KELAS
Kami mengadakan
perjumpaan untuk membincangkan tentang perkembangan FeSSA setiap minggu pada
hari rabu seiring dengan jadual kelas Projek Seni kami. Selepas perjumpaan
diadakan, kadangkala saya dan beberapa orang dari bahagian pengurusan seperti
Event Manager FeSSA iaitu Hasri Hadi akan duduk untuk berbincang mengenai FeSSA
dan meninjau ET.
.......................................................................................................................................................
MINGGU 14 – 21 JULAI
– PERJUMPAAN SM
Assalamualaikum dan
Salam Sejahtera.
Pada hari ini
(Khamis), saya telah mengadakan satu perjumpaan bersama Encik Yusmar dan Encik
Andika bersama dua orang lagi SM untuk membincangkan perkembangan FeSSA dan
membahagikan tugas di antara kami. Saya telah ditugaskan untuk menguruskan
serta mengikuti perkembangan Pameran Produk Inovasi di bawah subjek Puan
Julaila iaitu Inovasi & Keusahawanan manakala dua orang lagi rakan saya iaitu
Nur Bahirah serta Nor Afifah ditugaskan untuk menguruskan pelajar tari dan
muzik. Pelajar teater akan diuruskan oleh Encik Andika sendiri. Pada tahap ini,
kami perlu mengetahui mengenai perkembangan persembahan mereka, tarikh latihan,
durasi persembahan dan siapa yang terlibat. Kami juga perlu turun ke sesi
latihan mereka untuk melihat persembahan. Hal ini penting kerana kami perlu
menetapkan tarikh untuk menggabungkan sesi latihan diantara pelajar tari,
teater dan muzik. Pada hari ni juga saya baru sahaja diberikan jadual ‘Master
Calendar’ oleh Puan Sailiana Kadir (Pembantu Encik Rosman) itupun selepas saya
sendiri memintanya dari beliau. Kami tidak diberikan jadual ini oleh Encik
Sharizam sedangkan jadual ini telah dikeluarkan pada minggu lepas. Saya membuat
salinan dan memberikannya kepada Hadi.
Kami (group SM)
sering berhubung dan berkongsi perkembangan melalui group Whatsapp Stage Manager yang dibuat oleh saya untuk memastikan
setiap SM peka mengenai perkembangan kumpulan persembahan. Encik Sharizam telah
menggabungkan department SM dengan department Pengurus Persembahan yang
terdiri daripada Syeera, Shafiq dan Wan.
........................................................................................................................................
........................................................................................................................................
MINGGU 15 –
SEMINGGU MENJELANG FESSA – PERJUMPAAN BERSAMA SEMUA - 27 JULAI 2016
Assalamualaikum dan
Salam Sejahtera.
Pada perjumpaan
hari ini, Encik Sharizam telah menerangkan kepada kami mengenai tugas kami pada
hari acara dengan lebih jelas. Sebagai SM, kami telah diarahkan untuk membantu
pelajar RKV membina props dan set serta kami juga perlu memastikan sesi bump in nanti berjalan dengan lancar.
Encik Sharizam telah meminta saya untuk menjadi Pengacara Majlis pada hari
acara nanti tetapi perkara ini masih dalam perbincangan. Pada hari ini juga
saya bersama Hadi telah berjumpa dengan Encik Yusmar untuk memberitahu
perkembangan persembahan pelajar tari. Encik Yusmar memaklumkan bahawa dia dan
Encik Andika sedang membuat jadual latihan untuk menggabungkan persembahan pelajar
tari, pelajar muzik dan pelajar teater. Saya telah menawarkan diri untuk
membantu menyusun atur pameran untuk kerja kursus subjek Pemasaran Seni yang
diajar oleh Encik Matthew pada hari acara nanti. Jadinya, berkemungkinan besar
kerja saya akan bertambah kepada tiga bahagian pada hari acara nanti iaitu saya
perlu memantau penyusunan Pameran Inovasi Puan Ju, menguruskan pameran Encik
Matthew dan menjadi Stage Manager serta Pengacara Majlis untuk FeSSA. Semoga
FeSSA berjalan lancar dan segala penat lelah serta perancangan yang telah
dilakukan selama empat bulan ini akan membuahkan hasil kepada semua pelajar
yang terlibat !
Sesi latihan bersama pelajar muzik