TAUFIK

MINGGU 10

    Pada minggu ini, kami sudah mula sibuk untuk menjayakan FESSA kerana hanya lebih kurang 5 minggu sahaja lagi sebelum bermulanya acara gilang gemilang tersebut. Secara jujurnya pada diri saya sendiri, saya masih tidak nampak hala tuju fessa ini sebenarnya kerana apa yang diberitahu oleh para pensyarah adalah tidak jelas dari segi pemarkahan terutamanya, Bayangkan seperti saya, saya mengambil subjek muzik dan pengurusan pada semester ini. Bagaimana markah itu dapat dibahagikan secara adil sedangkan kedua-dua subjek itu terlibat dalam program fessa ini. Ramai juga dikalangan pelajar lain yang merasakan benda yang sama. Dan secara jujurnya saya tidak nampak program fessa ini akan berjaya. Sedangkan kebanyakan pensyarah pun kelihatan agak runsing dan keliru, apatah lagi kami sebagai pelajar. Saya merasakan bahawa pihak admin tidak merancang dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan subjek pelajar asasi.
    Pada minggu ini juga, pensyarah untuk subjek muzik iaitu Encik Ramlan turut menyatakan bahawa beliau sendiri pun agak tidak pasti akan format sebenar program fessa untuk pelajar muzik. Tetapi beliau memberi jaminan bahawa kami tidak perlu risau kerana beliau sebagai dekan fakulti muzik akan membantu kami. Beliau berkata selagi text lakonan tidak diberikan kepadanya, beliau tidak dapat melakukan apa-apa kerana muzik perlu mengikut text lakonan untuk menentukan format dan lagu yang sesuai mengikut mood yang cuba disampaikan oleh para pelajar teater yang akan berlakon pada program fessa nanti. Beliau juga berkata bahawa lagu untuk kelas ensemble muzik akan dibawa dalam fessa dan akan disusun semula oleh beliau.
...................................................................................................................................................................

Minggu 11

    Hanya tinggal lebih kurang 4 minggu sebelum bermulanya fessa. Pada minggu ini, kami dari pelajar asasi yang mengambil subjek muzik sudah lebih jelas akan proses pemarkahan untuk fessa setelah diberitahu oleh Encik Ramlan semasa kelas beliau. Saya juga sudah mula boleh menerima program ini dan mula bersemangat untuk mendedikasikan masa saya untuk menjayakan fessa sepenuhnya. Tetapi satu berita yang agak mengecewakan adalah dimana apabila Encik Ramlan mengumumkan bahawa beliau tidak dapat lagi terus mengajar kelas muzik atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan kelas beliau akan diambil oleh Encik Syam dan Encik James Boyle. Tetapi ini tidak langsung mematahkan semangat kami pelajar asasi pengkhususan muzik. Encik Ramlan juga turut melantik rakan saya iaitu nabil untuk menjadi pengarah muzik bagi fessa
    Kami telah mengadakan satu perjumpaan dengan Encik Syam dan Encik James Boyle. Encik Syam telah menyatakan bahawa untuk bahagian muzik fessa, ia akan sepenuhnya dikendali oleh kami pelajar muzik sendiri. Beliau dan Encik James Boyle hanya akan memantau kami pada minggu ke minggu dan muzik untuk fessa haruslah dicipta sendiri jadi tugas itu diserahkan kepada pengarah muzik iaitu nabil. Jadi kami ada lebih kurang seminggu pada minggu cuti hari raya untuk menyiapkan bentuk asas muzik untuk fessa. Ini kerana pada minggu hadapan sudah bermulanya cuti hari raya aidilfitri selama seminggu jadi tiada latihan muzik yang dapat dijalankan

...................................................................................................................................................................
 Minggu 12

    Hanya lebih kurang 3 minggu sahaja lagi sebelum bermulanya fessa. Pada minggu ini tidak banyak yang boleh dilakukan kerana minggu ini adalah minggu cuti sempena hari raya aidilfitri. Semua pelajar masing-masing telah pulang ke kampung. Walaupun cuti, kami telah diberikan tugas oleh pengarah muzik iaitu nabil supaya jangan lupa untuk berlatih alat muzik masing-masing semasa cuti sebagai persiapan untuk fessa kelak walaupun lagu masih belum lagi ditentukan.
    Saya merupakan pelajar asasi pengkhususan muzik yang akan mengambil alat muzik perkusi sebagai alat utama ketika di ijazah kelak. Jadi semasa cuti  saya akan berlatih teknik2 ketukan yang betul agar tidak lupa ketika fessa kelak. Beraya beraya juga tapi latihan haruslah tidak dilupakan. Ini kerana saya betul-betul berazam untuk mendapat markah yang tinggi untuk fessa kelak agar mudah untuk saya diserapkan kedalam program ijazah sarjana muzik kelak.
...................................................................................................................................................................

 Minggu 13

    Hanya lebih kurang 2 minggu sebelum bermulanya fessa. Pada minggu ini, kelas sudah bermula seperti biasa dan ramai pelajar yang sudah mula kembali ke aswara setelah seminggu bercuti meraikan hari raya aidilfitri. Untuk pelajar muzik, kami telah diberitahu oleh pengarah muzik fessa iaitu nabil bahawa lagu pertama yang berjudul Perajuritku sudah siap beserta sajak pada permulaan lagu ini. Lagu ini bersifat patriotic sesuai dengan tema teater yang ingin dipersembahkan oleh pelajar pengkhususan teater kelak.
    Saya telah ditugaskan oleh nabil untuk mengendalikan bahagian perkusi untuk lagu ini. Pada minggu ini juga kami telah memulakan latihan. Hari dan masa latihan masih belum tetap. Ini kerana nabil memerlukan masa untuk menyiapkan lagi 2 lagu untuk fessa yang bercirikan traditional dan satu lagi bercirikan fusion.
    Pada latihan pertama, ia merupakan pertama kali saya mendengar penuh lagu Perajuritku. Ia agak berentak rock moden. Saya bernasib baik kerana bahagian perkusi adalah tidak susah mana. Jauh berbeza dengan alat muzik drum yang jauh lebih susah dan memerlukan skill dan teknik yang padu yang dimiliki oleh rakan saya iaitu Jerome. Di bahagian perkusi saya hanya sebagai “support” kepada drum.
...................................................................................................................................................................
Minggu 14

    Hanya lebih kurang seminggu sebelum bermulanya fessa. Ini merupakan minggu terakhir sesi pembelajaran bagi semua pelajar asasi. Mingu depan sudah bermulanya peperiksaan akhir. Nasib baik bagi saya apabila hanya ada satu subjek subjek sahaja yang mempunyai peperiksaan akhir bertulis iaitu subjek apresiasi muzik. Masa yang lain boleh digunakan sepenuhnya untuk beratih muzik untuk fessa.
    Pada minggu ini juga kami mempunyai kelas terakhir untuk subjek ensemble muzik bersama Encik Syam. Kami telah menunjukkan hasil yang kami telah buat dalam lagu Perajuritku, setelah mendengar dan mendalami lagu tersebut, Encik Syam telah berpuas hati dengan usaha kami terutamanya pengarah muzik iaitu nabil. Tapi dia telah memberi beberapa cadangan untuk menambah baik mutu lagu tersebut dari segi melodi dan penggunaan kord yang lebih sesuai.
    Pada minggu ini juga kami telah mula fasa latihan muzik pada setiap hari tetapi ia diselang selikan antara 3 lagu yang akan dipersembahkan pada fessa kelak. Saya begitu bersemangat untuk menghabiskan sisa baki bergelar sebagai pelajar asasi aswara dan ingin membuat persembahan pada fessa kelak dengan jayanya