ZARITH

MINGGU 3 – KELAS PERTAMA PROJEK SENI – 3 MAY 2016

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Minggu ini merupakan kelas pertama untuk subjek PROJEK SENI PASK 0363 yang diajar oleh Encik Sharizam Hamzah pada semester terakhir ini. Seramai 38 orang pelajar Asasi Seni Kreatif telah mendaftar subjek ini. Pada kelas yang pertama ini, Encik Sharizam memberitahu kami tentang projek akhir pelajar Asasi yang bakal dijalankan bersama semua pelajar Asasi pada penghujung semester ketiga. Oleh kerana pada peringkat ini Encik Sharizam sendiri masih belum jelas mengenai projek ini kerana ianya masih berada di bawah perancangan Penyelaras Asasi iaitu Encik Rosman Ishak, untuk kelas yang pertama ini dia hanya merangka organisasi FeSSA bersama para pelajar sahaja. Saya telah dilantik sebagai Pengurus Pentas (STAGE MANAGER AKA SM) bersama dua lagi rakan di bawah pantauan saya iaitu Nur Bahirah dan Nor Afifah. Kami hanya akan bekerja pada sekurang-kurangnya beberapa minggu sebelum FeSSA berlangsung.

FeSSA ini merupakan gabungan persembahan di antara para pelajar Asasi dari semua fakulti yang terlibat iaitu fakulti Tari, Teater, Pengurusan Seni & Budaya, Penulisan Kreatif, Animasi, Muzik, Filem dan Rekaan Komunikasi Visual. Para pelajar akan bergabung dan bekerjasama antara satu sama lain dalam menghasilkan sebuah persembahan yang menggabungkan unsur tarian, teater dan muzik dalam satu malam. Para pelajar yang mengambil subjek Projek Seni ini pula akan membantu menguruskan acara ini.

........................................................................................................................................

MINGGU 7 – PERJUMPAAN BERSAMA SEMUA PENSYARAH YANG TERLIBAT UNTUK FESSA – 3 JUN 2016

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Satu perjumpaan bersama Penyelaras Asasi iaitu Encik Rosman Ishak bersama semua pelajar dan pensyarah yang terlibat dengan FeSSA telah diadakan pada hari ini dari pukul 11.00pagi – 12.15pagi bertempat di Studio Tari Utama (STU). Pada perjumpaan ini, Encik Azizul (pensyarah dari fakulti Rekaan Komunikasi Visual) selaku Pengurus Projek telah mengetuai perbincangan dan memberikan penjelasan mengenai FeSSA. Tarikh serta tempat FeSSA telah ditetapkan iaitu pada 5 Ogos 2016 di Experimental Theatre (ET) dari jam 8.00 malam sehingga 10.00 malam.

Pada mulanya pihak pengurusan ingin mengadakan FeSSA pada 4 Ogos (Khamis) tetapi telah ditentang oleh saya sendiri memandangkan tujuan utama FeSSA diadakan adalah untuk menjemput ibu bapa untuk melihat persembahan anak-anak mereka. Jika acara ini diadakan pada hari bekerja, ibu bapa yang tinggal berjauhan dari Kuala Lumpur akan mengalami kesukaran untuk datang menonton. Saya mencadangkan agar FeSSA diadakan pada hari jumaat. Seminggu selepas perjumpaan ini diadakan, pihak pengurusan bersetuju dengan cadangan saya dan menukar tarikh FeSSA kepada 5 Ogos. 

Pada perjumpaan ini juga, Dr Azman dari Fakulti Penulisan Kreatif telah berkongsi kepada kami jalan cerita utama untuk persembahan FeSSA. Kami juga diberitahu bahawa akan ada pensyarah yang mengetuai setiap bahagian di dalam FeSSA ini. Kumpulan saya sendiri (SM) akan bekerja di bawah Encik Yusmar dan Encik Andika selaku ketua Pengurus Pentas.

........................................................................................................................................

MINGGU 3 –> MINGGU 14 – PERJUMPAAN DI DALAM KELAS

Kami mengadakan perjumpaan untuk membincangkan tentang perkembangan FeSSA setiap minggu pada hari rabu seiring dengan jadual kelas Projek Seni kami. Selepas perjumpaan diadakan, kadangkala saya dan beberapa orang dari bahagian pengurusan seperti Event Manager FeSSA iaitu Hasri Hadi akan duduk untuk berbincang mengenai FeSSA dan meninjau ET.

.......................................................................................................................................................

MINGGU 14 – 21 JULAI – PERJUMPAAN SM

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada hari ini (Khamis), saya telah mengadakan satu perjumpaan bersama Encik Yusmar dan Encik Andika bersama dua orang lagi SM untuk membincangkan perkembangan FeSSA dan membahagikan tugas di antara kami. Saya telah ditugaskan untuk menguruskan serta mengikuti perkembangan Pameran Produk Inovasi di bawah subjek Puan Julaila iaitu Inovasi & Keusahawanan manakala dua orang lagi rakan saya iaitu Nur Bahirah serta Nor Afifah ditugaskan untuk menguruskan pelajar tari dan muzik. Pelajar teater akan diuruskan oleh Encik Andika sendiri. Pada tahap ini, kami perlu mengetahui mengenai perkembangan persembahan mereka, tarikh latihan, durasi persembahan dan siapa yang terlibat. Kami juga perlu turun ke sesi latihan mereka untuk melihat persembahan. Hal ini penting kerana kami perlu menetapkan tarikh untuk menggabungkan sesi latihan diantara pelajar tari, teater dan muzik. Pada hari ni juga saya baru sahaja diberikan jadual ‘Master Calendar’ oleh Puan Sailiana Kadir (Pembantu Encik Rosman) itupun selepas saya sendiri memintanya dari beliau. Kami tidak diberikan jadual ini oleh Encik Sharizam sedangkan jadual ini telah dikeluarkan pada minggu lepas. Saya membuat salinan dan memberikannya kepada Hadi.

Kami (group SM) sering berhubung dan berkongsi perkembangan melalui group Whatsapp Stage Manager yang dibuat oleh saya untuk memastikan setiap SM peka mengenai perkembangan kumpulan persembahan. Encik Sharizam telah menggabungkan department SM dengan department Pengurus Persembahan yang terdiri daripada Syeera, Shafiq dan Wan.

........................................................................................................................................


MINGGU 15 – SEMINGGU MENJELANG FESSA – PERJUMPAAN BERSAMA SEMUA - 27 JULAI 2016

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada perjumpaan hari ini, Encik Sharizam telah menerangkan kepada kami mengenai tugas kami pada hari acara dengan lebih jelas. Sebagai SM, kami telah diarahkan untuk membantu pelajar RKV membina props dan set serta kami juga perlu memastikan sesi bump in nanti berjalan dengan lancar. Encik Sharizam telah meminta saya untuk menjadi Pengacara Majlis pada hari acara nanti tetapi perkara ini masih dalam perbincangan. Pada hari ini juga saya bersama Hadi telah berjumpa dengan Encik Yusmar untuk memberitahu perkembangan persembahan pelajar tari. Encik Yusmar memaklumkan bahawa dia dan Encik Andika sedang membuat jadual latihan untuk menggabungkan persembahan pelajar tari, pelajar muzik dan pelajar teater. Saya telah menawarkan diri untuk membantu menyusun atur pameran untuk kerja kursus subjek Pemasaran Seni yang diajar oleh Encik Matthew pada hari acara nanti. Jadinya, berkemungkinan besar kerja saya akan bertambah kepada tiga bahagian pada hari acara nanti iaitu saya perlu memantau penyusunan Pameran Inovasi Puan Ju, menguruskan pameran Encik Matthew dan menjadi Stage Manager serta Pengacara Majlis untuk FeSSA. Semoga FeSSA berjalan lancar dan segala penat lelah serta perancangan yang telah dilakukan selama empat bulan ini akan membuahkan hasil kepada semua pelajar yang terlibat !

Sesi latihan bersama pelajar muzik